Aku kecilkan lagi ruang lingkup tulisan dengan menamakan rakyat jelata 2 buah negara berjiran sebagai pesalah kepada isu yang seringkali berbangkit ini. (Indonesia dan Malaysia).
Bung Karno dahulunya pernah menggelorakan satu semangat (Ganyang Malaysia) yang bagi aku rupa-rupanya hingga kini masih berakar umbi. Bung Karno kah yang bersalah dalam hal ini? Bagi aku tidak. TIDAK kataku bukan kerana Bung Karno adalah idolaku, TIDAK kataku kerana keduanya ada salah dan silap serta ego yang berbeda. Mereka mampu berfikir dan berhujah. Aku yakin serta percaya antara emosi yang bertembung ditengah-tengahnya ada ruang toleransi dan komunikasi yang amat menenangkan.
Aku titipkan satu pesanan ringkas melalui facebook kepada temanku di Jakarta menanyakan komentarnya tentang hal ini. Nyata beliau lebih positif dalam berbicara. Yang lebih menyentuh rasa adalah apabila dia menyatakan KITA dari rumpun yang sama dan cuma dibezakan dengan semangat dan kepercayaan yang lain-lain. Aku justeru bersetuju dan cuba untuk mengukuhkan lagi semangat ini dengan menambah agar kita cuba membuang segala perbezaan dan mencari titik-titik kecil persamaan.
Terkini, tarian pandek dari BALI dijadikan alasan lagi untuk terus memuntahkan kebencian kepada Malaysia. Di pihak Malaysia, memanda menteri hanya memohon maaf dengan menyatakan kesilapan itu berlaku kerana rancangan adalah hasil kerja agensi dari Singapura. Bagi aku sekiranya bijak, mengapa tidak dilihat terlebih dahulu iklan tersebut. Dinilai dan diteliti serta dikaji adakah sesuai dan beridentitikan negara Malaysia utuk ditayangkan keserata dunia. Mujur sahaja tiada tarian erotik ditayangkan. Pasti Indonesia tidak mahu mengaku apatah lagi Malaysia. Cuma kini kepada siapa yang harus disalahkan? Barat atau agensi iklan? Barat pula negara mana yang di maksudkan? Amerika atau United Kingdom? Eropah atau negara-negara berhampiran? Di pihak Indonesia pula nampaknya seperti ada kuasa yang mendorong mereka untuk ke jalanan berdemonstrasi. Benarkah rancangan itu yang menjadi pencetus kepada kemarahan mereka?
Aku faham sekiranya ia adalah kebanggaan kamu dan kamu ingin benar mempertahankannya. Tapi adakah wajar dengan mencerca dan menghina kami serta membakar bendera simbol kemerdekaan kami? Kami juga merdeka seperti anda dan kami seperti anda akan mempertahankannya daripada musuh antara-nasional dan domestik. Cuma bagiku ia agak biadap sekiranya ia diperkosa tanpa boleh dibela.
Aku baca lagi....
Kali ini mataku singgah terus kepada satu tulisan berhubung Lagu NEGARAKU yang dikatakan diciplak. Itu kata orang Indonesia. Bagaimana pula lagu INDONESIA RAYA yang dikatakan juga diciplak? pastinya tuduhan ini datang dari orang Malaysia. Benar bukan?
Sedikit informasi berhubung lagu Indonesia Raya, ia didengarkan buat pertama kalinya oleh W.R Supratman pada kongres pemuda indonesia kedua yang pada waktu negara indonesia masih lagi dibawah jajahan Belanda. Mungkin secara kebetulan, Lagu PINDA PINDA, LEKKA LEKKA amat popular pada masa itu di setiap pelusuk kawasan jajahan Belanda yang mungkin juga menyebabkan berlakunya pertindihan irama diantara kedua lagu ini. Aku kagum dengan kisah sumpah pemuda ini yang berlatar belakang kelahiran lagu bangsa ini. Bagi ku ini sejarah, dan ia harus benar dihormati.
Lagu NEGARAKU, mungkin ramai yang tidak tahu juga punya sejarah yang tersendiri. Ia dibawa oleh Sultan Abdullah apabila baginda berkenan benar dengan irama lagu tersebut. Mungkin sepanjang beliau diasingkan di Pulau Mahe, lagu itu sahaja yang berkenan di hati baginda. Kemudian lagu ini popular di Nusantara termasuk Indonesia. Apabila Tanah Melayu merdeka, maka irama ini dijadikan irama untuk lagu negara. Tahun 1957, ada rekod bertulis menyatakan Bung Karno sendiri yang memberikan piring hitam lagu Terang Bulan ini kepada wakil Kuala Lumpur sebagai hadiah dan menyarankan agar iramanya dijadikan lagu bagi dipadankan dengan lirik NEGARAKU kerana pada waktu itu negara masih belum punya lagu kebangsaan. Pada waktu itu hubungan Jakarta dengan Kuala Lumpur masih baik sehingga tahun-tahun konfrantasi yang menjadi sejarah hitam antara 2 negara ini.
Bagiku INDONESIA dan MALAYSIA bagaikan isi dengan kuku. Kita berkongsi banyak sejarah yang sama. Bukan itu sahaja kita juga berkongsi nada suara, rupa dan bahasa yang sama. Apatah lagi budaya dan identiti kita juga sama. Sebab itu budaya Malaysia jika dibawa ke Indonesia bisa dijadikan adat. Dan jika budaya Indonesia dibawa ke Malaysia, ia bisa dijadikan kehidupan.







